Thursday, April 22, 2010

Kenapa Manusia Perlukan Agama…..

Kepercayaan kepada Tuhan yang disertai dengan ajaran, ibadah dan kewajipan yang bertalian dengan kepercayaan itu disebut agama. Agama merupakan perkara universal dalam kehidupan manusia. Sebahagian besar umat manusia di bumi ini yang pelbagai latar belakang etnik, geografi, iklim dan budaya, menganuti salah satu agama.

Agama telah ada sejak manusia wujud dan menjadi bahagian yang tidak terpisah daripada kehidupan manusia. Meskipun kini ilmu pengetahuan dan teknologi maju dengan pesat, manusia tetap memerlukan agama. Ilmu pengetahuan dan teknologi tidak dapat memberi jawapan atas pertanyaan mengenai erti dan tujuan hidup manusia, yang hanya boleh dijawab oleh agama.

Saat ini kecenderungan manusia moden untuk kembali kepada agama semakin kuat. Kekhuatiran bahawa agama akan ditinggalkan ternyata tidak terbukti. Agama tetap di perlukan oleh manusia sepanjang masa. Ada pelbagai macam motivasi yang membuat manusia memeluk suatu agama. Manusia juga memerlukan penjelasan atas pertanyaan mengenai erti, asal dan tujuan hidup. Jawapan atas semua itu hanya boleh didapatkan daripada agama.

Dahulu banyak pemikir yang meramalkan bahawa agama akan rosak kerana sudah tidak diperlukan lagi oleh manusia moden yang telah sangat maju dalam bidang ilmu pengetahuan dan teknologi. Kemudian muncullah orang yang mengingkari adanya Tuhan, yang disebut kaum ateis.
Namun kekhuatiran bahawa agama akan ditinggalkan oleh manusia moden ternyata tidak benar. Sejak beberapa dasawarsa terakhir terjadi kebangkitan agama-agama hampir di seluruh dunia, yang ditandai antara lain dengan semakin meningkatnya kunjungan ke tempat-tempat ibadah, ceramah-ceramah agama dan penerbitan buku-buku agama.

Pandangan seseorang terhadap agama, ditentukan oleh pemahamannya terhadap ajaran agama itu sendiri. Ketika pengaruh gereja di Eropah menindas para ilmuwan akibat penemuan mereka yang dianggap bertentangan dengan kitab suci, para ilmuwan pada akhirnya menjauhi dari agama bahkan meninggalkannya.

Persoalan yang menjadi topik perbicaraan kita mahu tidak mahu harus muncul. Apakah agama masih relevan dengan kehidupan masa kini yang cerminannya seperti digambarkan di atas? Sebelum menjawabnya, perlu terlebih dahulu dijawab: Apakah manusia dapat melepaskan diri daripada agama? Atau adakah alternatif lain yang dapat menggantikannya?

Dalam pandangan Islam, keberagamaan adalah fitrah sesuatu yang melekat pada diri manusia dan terbawa sejak kelahirannya. Oleh kerana agama adalah fitrah atau sejalan dengan jati diri, maka ia pasti dianuti oleh manusia, kalau bukan sejak muda, maka menjelang akhir usianya.

Firaun yang derhaka dan merasai dirinya Tuhan pun pada akhirnya bertaubat dan ingin beragama tetapi sayang kerana sudah terlambat. Kerana agama adalah fitrah, maka ia tidak boleh dan tidak perlu dipaksakan. Mengapa harus memaksa? Tuhan tidak perlu pada paksaan dan akhirnya pun Dia dan agama-Nya diakui. Bukankah agama itu fitrah?

Ini bererti manusia tidak dapat melepaskan diri daripada agama. Tuhan menciptakan demikian kerana agama merupakan keperluan hidupnya. Memang manusia dapat menangguhkannya sekian lama, boleh jadi sampai dengan menjelang kematiannya. Tetapi pada akhirnya, sebelum roh meninggalkan jasad, ia akan merasa keperluan itu.

Memang desakan pemenuhan keperluan bertingkat-tingkat. Keperluan manusia terhadap air dapat ditangguhkan lebih lama jika dibandingkan dengan keperluan udara. Begitu juga keperluan manusia terhadap makanan jauh lebih singkat dibandingkan dengan keperluan manusia untuk menyalurkan naluri seksual. Demikian juga keperluan manusia terhadap agama dapat ditangguhkan tetapi tidak untuk selama-lamanya.

William James menegaskan bahawa, selama manusia masih memiliki naluri cemas dan mengharap, selama itu pula ia beragama (berhubungan dengan Tuhan). Itulah sebabnya mengapa perasaan takut merupakan salah satu dorongan yang terbesar untuk beragama.

Murtadha Muthahhari menjelaskan sebahagian fungsi dan peranan agama dalam kehidupan ini tidak mampu dimainkan oleh ilmu dan teknologi. Jelasnya ilmu mempercepat anda sampai ke tujuan, agama menentukan arah yang dituju. Ilmu menyesuaikan manusia dengan lingkungannya dan agama menyesuaikan dengan jati dirinya. Ilmu hiasan lahir dan agama hiasan batinnya. Ilmu memberikan kekuatan dan menerangi jalan dan agama memberi harapan dan dorongan bagi jiwa.

Ilmu menjawab pertanyaan yang dimulai dengan bagaimana dan agama menjawab yang dimulai dengan mengapa. Ilmu selalu mengeruhkan fikiran pemiliknya sedangkan agama selalu menenangkan jiwa pemeluknya yang tulus. Bukankah kenyataan hidup masyarakat Barat membuktikan hal tersebut?
Manusia merangkumi akal, jiwa dan jasmani. Akal atau rasional ada wilayahnya. Tidak semua persoalan boleh diselesaikan atau bahkan dihadapi oleh akal. Karya seni tidak dapat dinilai semata-mata oleh akal kerana yang lebih berperanan di sini ialah kalbu.

Akal bagaikan kemampuan berenang. Akal berguna saat berenang di sungai atau di laut yang tenang tetapi bila ombak dan gelombang telah menerjah, maka yang pandai berenang dan yang tidak boleh berenang sama-sama memerlukan pelampung.

Dalam hubungannya dengan pengembangan ilmu pengetahuan dan teknologi, agama sesungguhnya sangat berperanan, terutama jika manusia tetap ingin menjadi manusia. Ambillah contoh bidang bio-teknologi. Ilmu manusia sudah sampai kepada batas yang menjadikannya dapat melakukan rekayasa genetik.

Apakah keberhasilan ini akan dilanjutkan sehingga menghasilkan makhluk-makhluk hidup yang dapat menjadi tuan bagi penciptanya sendiri?
Apakah ini baik atau buruk? Yang dapat menjawabnya adalah nilai-nilai agama dan bukan seni bukan pula falsafah.

Jika demikian, maka tidak ada alternatif lain yang dapat menggantikan agama. Mereka yang mengabaikannya terpaksa menciptakan agama baru demi memuaskan jiwanya.

No comments:

Post a Comment